Sejarah Solat Tarawih

13 Ogos 2010
Sejarah solat sunat Tarawih ini dimulai oleh Rasulullah s.a.w. di Masjid Nabawi. Menurut baginda Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat Tarawih ini di masjid, lalu para sahabat mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda mengerjakan lagi solat Tarawih di masjid, dan para sahabat semakin ramai datang dan mengikutnya.

Pada malam yang ketiganya lebih ramai lagi para sahabat telah sedia menunggu ketibaan Rasulullah s.a.w. di masjid. Tetapi baginda tidak hadir. (Baginda mengerjakan solat Tarawih itu di rumah). Esoknya Rasulullah s.a.w. bersabda kepada mereka: “Sesungguhnya aku melihat sambutan daripada kamu. Aku tidak hadir pada malam itu hanya kerana takut solat itu diwajibkan ke atas kamu.”

Jika solat Tarawih itu difardhukan, tentulah sangat memberati umat Islam.

Perhatikan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir b. Abdullah yang ertinya:
"Rasulullah s.a.w. telah bersolat dengan kami di bulan Ramadhan lapan rakaat dan witir. Maka pada malam berikutnya kami telah berkumpul di masjid, dan kami mengharapkan baginda keluar tetapi baginda tidak turun di masjid sehinggalah waktu Subuh. Kemudian kami masuk menemuinya dan kami berhimpun di masjid dan mengharapkan Rasulullah s.a.w. bersolat dengan kami." Maka baginda bersabda: "Sesungguhnya aku takut ia (solat Tarawih) diwajibkan ke atas kamu."


Tarawih Zaman Umar Al-Khattab


Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab, semakin ramailah umat Islam mengamalkan solat sunat Tarawih ini. Menurut Abdul Rahman bin Ubaid Al-Qari, pada suatu malam di bulan Ramadhan, beliau pergi ke masjid bersama Khalifah Umar Al-Khattab.

Setibanya di masjid, beliau dapati ramai orang yang berkelompok-kelompok membuat jamaah-jamah mengerjakan solat ini. Sebahagiannya mengikut seorang imam dan sebahagian lagi mengikut imam yang lain. Melihat kepada amalan yang tiada keseragaman itu, Khalifah Umar berkata: “Aku bermaksud menyuruh mereka supaya berimam kepada seorang imam yang baik bacaannya.” Seterusnya beliau menyuruh mereka berimamkan Ubai bin Ka’ab.

Pada malam berikutnya mereka mengerjakan solat Tarawih dengan seorang imam. Khalifah Umar berkata: “Ini termasuk bid’ah yang baik; tetapi orang yang tidur mendapat pahala lebih besar daripada mereka yang beramai-ramai bersolat tarawih itu.” Maksud Khalifah Umar, orang yang mengerjakan solat Tarawih pada akhir malam (setelah tidur lebih dahulu) mendapat pahala yang lebih besar daripada yang solat Tarawih pada awal malam.

Bid’ah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar ialah bahawa solat Tarawih itu hendaklah dikerjakan secara berjamaah dengan pimpinan seorang imam yang baik bacaannya. Sayidina Umar sebenarnya hanya mengulangi apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. pada ketika mula-mula solat Tarawih itu disyari’atkan. Baginda terpaksa memberhentikan cara yang demikian pada malam yang ketiga, kerana takut ibadat solat Tarawih itu diwajibkan kepada umatnya.

0 comments:

Catat Ulasan